23 May
PENGOLAHAN DALAM PENULISAN KARANGAN


Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai. Dalam hal ini, kita jarang-jarang mendengar murid menghadapi masalah untuk mendapatkan isi karangan. Namun demikian, kebiasaannya murid menghadapi masalah untuk mengolah atau mengembangkan isi karangan tersebut. Mereka selalunya menghadapi masalah untuk mengembangkan isi tersebut agar menjadi satu kesatuan idea dalam perenggan-perenggan karangan. Isi tersebut perlu dikembangkan menjadi satu pertautan idea antara satu perenggan dengan perenggan yang lain. 

Untuk menghasilkan karangan yang baik, empat proses yang berikut perlu diikuti oleh pelajar, iaitu:
i. Membaca semua soalan
ii. Membuat pemilihan dan perancangan
iii. Menulis karangan
iv. Membuat semakan 

Terdapat beberapa aspek pengolahan dalam karangan iaitu :

  1. Wacana
  2. Logik
  3. Pemerengganan
  4. Format


Bagaimanakah cara menghasilkan sebuah karangan yang menarik ?

1. Wacana

  • Menurut Asmah Hj Omar (1986), wacana ialah keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu pelahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang ke arah menjadikan sesuatu pertuturan atau tulisan berkenaan sebagai sesuatu yang bermakna dalam komunikasi.
  • Wacana direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, siri ensiklopedia, perenggan, kalimat atau kata yang membawa amanat yang lengkap. Wacana merupakan unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan melebihi batas ayat.
  • Dalam penulisan karangan, penanda wacana juga penting bagi memastikan kesinambungan bagi setiap ayat yang dibina. 



2. Logik

  • Logik dalam penulisan karangan bermaksud pembinaan wacana atau karangan yang tepat dan tulen. Sesebuah karangan yang dibina perlulah menekankan konsep logik dan benar supaya dapat mempengaruhi pemikiran pembaca untuk berfikir. 
  • Membina sebuah karangan fakta, aspek logik sangat dititikberatkan kerana setiap isi atau hujah dalam huraian perlulah betul, sahih dan tidak direka-reka. Hal ini dikatakan demikian kerana, logik dalam karangan boleh memberi kesan kepada pembaca.
  • Selain itu, pelajar perlu mengenal pasti jenis soalan supaya tidak terpesong daripada arahan yang diberi.


3. Pemerengganan

  • Pemerenggan bermaksud usaha untuk menghasilkan komposisi sebuah karangan yangmantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna.  
  • Perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Bahagian-bahagian itu berlainan antara perenggan pendahuluan, isi, penutup dan dialog.  
  • Perenggan ialah binaan bahasa yang terhasil daripada sekumpulan perkataan yangmembina pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan satu idea utama secara tuntas.
  • Murid perlu mengetahui bahawa pemerengganan dalam penulisan karangan adalah penting kerana ia memberi penjelasan bagi setiap isi dan idea dalam karangan.


Struktur karangan sempurna :

Perenggan pengenalan, 

Perenggan isi 1

Perenggan isi 2

Perenggan isi 3

Perenggan isi 4

Perenggan isi 5

Perenggan penutup


Ciri-ciri pemerengganan terbaik :

Perenggan pendahuluan 
  • Menunjukkan keseluruhan tentang apa yang hendak ditulis dengan jelas.
  • Penyataan secara umum dengan ayat selapis atau ayat mudah.

Perenggan isi

  • Dihuraikan berdasarkan keterangan dalam perenggan terdahulu.
  • Dihuraikan dalam bentuk susunan ayat topik, ayat huraian dan ayat contoh.
  • Antara satu perenggan dengan perenggan lain hendaklah dihubungkan dengan penanda wacana.

Perenggan penutup

  • Menggambarkan tentang perkara yang telah ditulis dalam keseluruhan perenggan.
  • Isinya adalah sama dengan perenggan pendahuluan hanya diungkapkan dalam bentuk dan struktur yang berlainan.


4. Format

  • Murid-perlu tahu membezakan antara karangan berformat dan tidak berformat.
  • Karangan fakta merupakan jenis karangan yang tidak berformat.
  • Terdapat juga karangan yang berformat seperti surat kiriman tidak rasmi, surat kiriman rasmi, laporan, catatan, dialog dan berita.
  • Sekiranya, murid memilih untuk menulis karangan berformat, pastikan anda sudah mengetahui semua format untuk karangan tersebut. Sekiranya, terdapat format yang tertinggal ataupun tidak tepat, boleh terjadinya pemotongan markah dari segi format dan menyebabkan markah keseluruhan karangan berkurangan. 









Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING