23 May
KAEDAH PENULISAN ISI KARANGAN

Penulisan merupakan penghasilan teks karangan, iaitu melibatkan proses dan hasil. Proses adalah menulis dan mengeluarkan idea, manakala hasil adalah buah fikiran yang telah dikeluarkan menjadi sebuah cerita yang lengkap. Karangan adalah suatu karya penulisan daripada aktiviti seseorang untuk mendedahkan idea dan menyampaikan melalui tulisan kepada pembaca untuk difahami.  

Sebelum menulis karangan, pelajar perlu membuat perancangan untuk setiap perenggan yang akan dibina. Antara perancangannya ialah penulisan perenggan pendahuluan, perenggan isi dan perenggan kesimpulan.

Formula menulis perenggan pendahuluan.

Pendahuluan = PU/DEFINISI + AH + AC + AA


1) Penyataan Umum (PU) / Definisi                           
- Terdiri daripada satu ayat sahaja.
- Ditulis berdasarkan tajuk.


2) Ayat Huraian (AH)
- Terdiri daripada satu hingga tiga ayat.


3) Ayat Contoh (AC)
- Anda boleh memberikan satu atau melebihi satu contoh.
-  Pastikan contoh yang diberi sesuai dan relevan dengan keadaan dan bertepatan dengan kehendak soalan.


4) Ayat Arah (AA)
- Menyatakan pendirian anda sama ada bersetuju atau tidak dengan soalan secara umum.
- Perlu menyatakan fokus arahan yang diberikan.


Formula menulis perenggan isi.

Isi = AT + AH + AC + AP

 i.  Perlu ada ayat topik dalam setiap perenggan isi. Ayat topik juga dikenali sebagai isi utama karangan yang sesuai dengan pernyataan ayat khusus yang diperkenalkan dalam perenggan pengenalan.

ii. Ayat topik boleh dibina di awal, di tengah atau di akhir perenggan. Namun, pelajar dikehendaki memilih untuk meletakkan ayat topik di awal perenggan. Pada bahagian ini, pelajar dikehendaki membuat ayat huraian terhadap ayat topik atau isi utama, memberikan bukti atau contoh dalam ayat contoh serta kesimpulan atau ayat penegas terhadap ayat topik yang dibincangkan.


Formula menulis perenggan kesimpulan.

Penutup  = AK + AC + AH 


Ayat Kesimpulan (AK)
~ Terdiri daripada satu hingga dua ayat .
~  Merumuskan keseluruhan karangan.


Ayat Cadangan (AC)
~ Terdiri daripada satu hingga dua ayat.
~ Memberi cadangan yang relevan dan mengaitkan dimensi dengan fokus arahan yang diberikan.


Ayat Harapan (AH)
~ Menyatakan harapan sekiranya cadangan yang diberikan dalam AC diguna pakai dalam usaha menangani masalah isu yang dibincangkan.
~ Menggunakan kata hubung agar / supaya / demi untuk menyambungkan AC dengan AC.

RANGKA KARANGAN 

Penulisan karangan Tingkatan 4. (Kertas 1 )

Soalan : Kepentingan amalan rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan ketika hari perayaan. 


Pendahuluan

  • Rumah terbuka atau ‘open house’ sudah menjadi lumrah pada sambutan perayaan di negara ini termasuk Deepavali, Tahun Baru Cina, Hari Natal dan juga Hari Raya Aidilfitri. (PU)
  • Perayaan seperti ini tidak lengkap jika tiada rumah terbuka sehingga seluruh lapisan dan pelbagai lapisan masyarakat mengetahui istilah rumah terbuka yang menjadi amat sinonim dalam kehidupan mereka. (AH)
  • Kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan sebanyak enam perayaan kaum atau agama dianggap sebagai perayaan utama negara yang diraikan di peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri. (AC)
  • Menyedari kesungguhan kerajaan untuk menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional, persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka? (AA secara pertanyaan)

Isi 1 : Mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat.

  • Amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kepentingan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. (AT)
  • Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. (AH)
  • Setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang halangan dan kekangan yang perlu dibimbangi.  (AC)
  • Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka. (AP)

Isi 2 : Rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain.  

  •  Di samping mewujudkan perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat serta pemimpin sendiri, amalan rumah terbuka ini juga dapat membantu sesama kaum memahami budaya kaum-kaum lain. (AT)
  • Mereka hanya akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan juga agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain, memahami antara satu sama lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. (AH)
  • Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban, Kadazan dan sebagainya merayakan sambutan Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. (AC)
  • Pendek kata, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini. (AP)

Isi 3 : Penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita.  

  • Selain kepada anggota masyarakat negara ini sendiri, penganjuran rumah-rumah terbuka juga merupakan persembahan kepada pelancong asing yang datang melancong di negara kita.  (AT)
  • Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan memahami sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. (AH)
  • Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas.  (AC)
  • Oleh itu, konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian. (AP)

Isi 4 : Merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. 

  • Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. (AT)
  • Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka ialah amalan ini merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga.  (AH)
  • Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan  di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. (AC)
  • Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan. (AP)


Penutup

  • Bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka lebih banyak membawa  kebaikan kepada negara dan masyarakat. (AK)
  • Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, ditakuti amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap baru pahat berbunyi apabila menganjurkan rumah terbuka.  (ACad)
  • Jika amalan murni ini dibudayakan sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di dalam peta dunia namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada mata dunia. (AHar)



Video berkenaan kepentingan rumah terbuka di Malaysia. Semoga bermanfaat!


















































































































Komen
* E-mel tidak akan diterbitkan di laman web.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING